Kes SRC: Mahkamah Persekutuan tetapkan Ogos dengar rayuan Najib

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan dijadualkan mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitannya dalam rayuan rasuah SRC International berjumlah RM42 juta dari 15 hingga 26 Ogos.

Dalam surat bertarikh 29 April lalu, mahkamah memaklumkan pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa rayuan itu akan diadakan selama 10 hari.

Ia juga meminta pihak terbabit berada di mahkamah pada 8.40 pagi kerana perbicaraan akan bermula 9 pagi.

“Penghujahan bertulis mesti difailkan sebelum 31 Julai ini,” menurut surat itu dalam laporan FMT Online hari ini.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Tetapi, bekas perdana menteri itu dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini, Najib memohon untuk memasukkan keterangan baharu dalam rayuannya, tetapi Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya atas alasan ia tidak memenuhi peruntukan undang-undang.