PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Parti Warisan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, asalkan kerjasama itu adalah untuk membawa kebaikan kepada Sabah secara keseluruhannya.
Katanya, GRS bersikap terbuka dalam hal-hal yang membawa kebaikan kepada negeri Sabah tapi, kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan gabungan GRS, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Di dalam BN pun ada beberapa parti, ada parti yang menyokong kerajaan ini dan ada parti di dalam (BN) yang menarik sokongan daripada kerajaan jadi, cukuplah saya cakap BN.
“Kita adalah sebuah kerajaan yang terbuka kepada apa juga cadangan-cadangan yang baik untuk perpaduan rakyat dan juga negeri Sabah,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Hajiji yang juga Ketua Menteri itu berkata, kerjasama yang terjalin antara GRS, PH dan BN dalam kerajaan perpaduan di Sabah akan terus dikekalkan pada pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, kerjasama bagi menghadapi pilihan raya perlu dibincangkan secara mendalam antara tujuh parti yang menganggotai GRS.
Pada Ahad, Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd. Yusof Apdal menyatakan tidak mustahil Warisan akan bekerjasama dengan GRS pada PRN akan datang sekiranya ia boleh mencapai matlamat untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.