SANDAKAN : Kerjasama strategik di antara pihak berkepentingan amat penting dalam usaha membangunkan sesebuah kawasan yang berpotensi sebagai produk pelancongan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata kerjasama strategik itu tidak hanya dari sudut pembangunan, tetapi juga dari segi pengisian yang boleh dilakukan oleh pengunjung.
“Sebagai contoh, kita telah melakukan kerjasama strategik di antara pihak kementerian, Pejabat Parlimen Batu Sapi dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk memastikan keadaan di Taman Warisan Batu Sapi sentiasa menjadi satu tempat tarikan kepada pelancong dalam dan luar Sabah.
“Tetapi persoalannya di sini bagaimana cara kita untuk menarik pelancong luar untuk melihat taman warisan ni sebagai satu identiti yang cukup penting di kawasan Batu Sapi. Sebab itu, kita melakukan kerjasama strategik yang bukan sahaja dari sudut pembangunan, tetapi juga dari sudut pengisiannya.
“Menerusi kerjasama strategik ini, saya juga telah memohon supaya pihak MPS menyatakan beberapa produk di Batu Sapi ini yang boleh kita tonjolkan sebagai produk pelancongan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Voluntourism @ Taman Warisan Batu Sapi di sini, semalam.
Khairul Firdaus yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi berharap agar Batu Sapi yang merupakan kawasan persisiran pantai dapat dibangunkan dari segi pelancongan dan bukannya sebagai kawasan perindustrian.
“Tidak logik Batu Sapi dijadikan sebagai Zon Perindustrian kerana ia terletak di pesisir pantai. Tidak ada mana-mana kawasan pesisiran pantai sesuai dibangunkan sebagai Zon Perindustrian, kecuali ia berkaitan dengan aktiviti pelautan.
“Saya berharap MPS dapat memberi perhatian serius berhubung perkara ini. Mesej sama juga saya mahu sampaikan kepada Kerajaan Negeri Sabah. Batu Sapi tidak sesuai untuk Zon Perindustrian. Ia sepatutnya kawasan untuk pelancongan ataupun industri laut,” jelasnya.
Selain isu Zon Perindustrian, beliau juga berharap menerusi kerjasama strategik itu, pihaknya dapat mengatasi isu pewartaan melibatkan banyak perkampungan di Batu Sapi.
Beliau yakin MPS bukan sahaja akan melihat perkara itu secara serius, tetapi juga perlu mengambil tindakan serta-merta.
“MPS perlu membuat kertas kerja kerana pihak itu bertanggungjawab terhadap tanah di kawasan Sandakan. Mereka perlu memberikan nasihat dari setiap aspek termasuk dari segi perundangan, akta dan proses terlibat.
“Itu sebabnya Pejabat Parlimen Batu Sapi perlu bekerjasama dengan MPS supaya setiap perancangan dan juga tindakan yang mahu dilakukan itu tidak menemui jalan buntu,” kata Khairul Firdaus.