Kerajaan Perpaduan perlu dibentuk di Sabah – PH Sabah

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak bersetuju sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sekiranya kemelut politik berterusan menyerahkan DUN  terus tergantung (Hung State Assembly).

Menurut kenyataan bersama PH Sabah hari ini, mereka sangat kesal melihat DUN Sabah sekali lagi berhadapan dengan kemelut politik yang sepatutnya tidak berlaku.

Katanya, seharusnya fokus utama memastikan matlamat perjuangan untuk membantu rakyat dengan membangun ekonomi sekali gus bersama-sama memastikan perjuangan Perjanjian Malaysia (MA63) dapat direalisasikan selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami sekali lagi mengulangi pendirian sebelum ini bahawa tidak menyokong sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui cara pintu belakang.

“Kami ingin memaklumkan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH memberi sokongan kepada Ketua Menteri sedia ada Datuk Seri Hajiji Bin Noor yang merupakan ADUN Sulaman,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Menurut kenyataan itu, tindakan adalah selari dengan prinsip  memastikan kestabilan politik terus mantap di Sabah sekali gus tidak terlibat dalam langkah seperti Langkah Sheraton.

“Kami bersetuju agar satu Kerajaan Perpaduan Sabah boleh dibentuk seperti amalan di lakukan di peringkat persekutuan.

“Kami berdoa agar kemelut politik akan berakhir dalam masa terdekat dan kesejahteraan rakyat Sabah terus dibela dengan sokongan ini,” katanya.