KUDAT: Kerajaan akan memperketat pemantauan penjualan minyak bersubsidi di kawasan sempadan bagi membanteras penyelewengan dan ketirisan bahan api.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu melibatkan operasi bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menurutnya, penggunaan teknologi seperti radar membantu meningkatkan keberkesanan pengawasan di kawasan sempadan yang dikenal pasti sebagai laluan penyeludupan.
Beliau berkata, pemantauan mendapati jualan RON95 menurun kira-kira 20 peratus manakala jualan RON97 meningkat, yang menunjukkan kemungkinan berlakunya penyalahgunaan bahan api bersubsidi.
Saifuddin berkata, antara kejayaan operasi termasuk menggagalkan penyeludupan 800 liter diesel di Pulau Banggi serta penahanan pendatang asing tanpa izin di Kota Marudu.
Beliau turut memaklumkan RSS Balambangan berfungsi sebagai sistem radar pemantauan dengan keupayaan mengesan sasaran mencurigakan dan telah merekodkan lebih 152,000 pengesanan sejak 2015.
Dalam perkembangan lain, kerajaan merancang meningkatkan aset penguatkuasaan termasuk pembinaan RSS baharu di Pulau Malawali serta penambahan bot pantas bagi memperkukuh operasi di perairan Sabah.
