TAWAU : Kerajaan Negeri sentiasa berusaha membawa pembangunan dan kemajuan kepada rakyat negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir berkata, kerajaan yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus juga sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap rancangan pembangunannya.
Katanya, kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat yang telah diwarisi dari kerajaan yang lalu.
“Kerajaan negeri hari ini terus berusaha sebaik yang mungkin untuk menyelesaikan masalah rakyat terutamanya kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air, eletrik dan lain-lain.
“Kerajaan tidak akan membiarkan masalah-masalah itu berlarutan seperti kerajaan yang lalu, sebaliknya terus berusaha menyelesaikannya demi kemudahan rakyat yang telah memberi mandat kepada kerajaan,”katanya.
Hassan berkata, rakyat perlu terus menyokong Kerajaan GRS agar segala program dan perancangan yang telah dibuat untuk kepentingan rakyat dapat diteruskan dan dilaksanakan tanpa terganggu.
“Rakyat juga perlu terus bersatu padu kerana perpaduan kaum merupakan tunggak utama kepada pembangunan dan kesejahteraan negeri.
“Kita bersyukur kerana hasil persefahaman dan perpaduan rakyat berbilang kaum, kita dapat bersama-sama menyambut Perayaan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan perayaan-perayaan lain bersama dalam suasana yang aman dan harmoni,” jelas Hassan.
Menurutnya, tahun ini merupakan tahun kedua Pejabat Daerah Kalabakan menganjurkan sambutan Pesta Kaamatan yang diraikan bersama oleh rakyat berbilang kaum dan agama.
“Pesta Kaamatan disambut selain bagi menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik, ia juga bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama,” katanya.
