KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan merancakkan penggunaan solusi perkomputeran awam selaras dengan dasar yang telah dilancarkan MyDigital Economy Blueprint.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer (JPKN) dan Sabah Net akan memastikan pendigitalan diperkembangkan secara konsisten melalui pelbagai perancangan dan program pendigitalan.
“Kita perlu menjadi lebih kreatif dan proaktif dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital seperti pemasaran digital, penggunaan pelbagai aplikasi, dan penggunaan secara maya,” katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Beliau berkata demikian dalam Persidangan Antarabangsa Pertubuhan Awam (ICONPO XII) di Hotel Pacific Sutera, Kota Kinabalu, Sabah.
Persidangan tahunan itu untuk mengenal pasti penyelesaian optimum untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui transformasi digital.
Bertemakan Memperkukuh Transformasi Digital Ke Arah Tadbir Urus Pintar, ICONPO XII merupakan program anjuran Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Asia Pacific Society for Public Affairs (APSPA).
Persidangan dua hari bermula semalam itu dihadiri oleh lebih daripada 300 peserta.
Sempena persidangan itu, turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan Majlis Ugama Islam Sabah ( MUIS).
Dalam majlis yang sama, Masidi turut melancarkan Sabah Halal Action Plan 2023-2025.
Sementara itu itu, Naib Cancelor UUM Prof Madya Dr Foad Sakdan berkata UUM bersedia membantu kerajaan dalam penggubalan dasar dalam pelbagai aspek khususnya berkaitan transformasi digital dan pemantauan pelaksanaan.
Katanya matlamatnya adalah untuk mencapai tadbir urus pintar yang komprehensif dan memaksimumkan potensi negara untuk mengatasi cabaran global yang merentasi sempadan.