KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Pakatan Harapan (GRS-PH Plus) dibawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sentiasa fokus untuk membangunkan Sabah dan meningkatkan hasil negeri.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata Kerajaan juga telahpun memulakan tindakan untuk mengatasi masalah masalah yang diwarisi dari Kerajaan Negeri lalu.
Katanya pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 adalah Hala Tuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah untuk lima tahun yang bermula pada tahun 2021 meliputi semua aspek termasuklah perekonomian dan menaiktaraf kemudahan asas.
Justeru, katanya, pemimpin parti pembangkang di Sabah tidak dapat menerima hakikat bahawa kerajaan GRS PH Plus selaras dengan Hala Tuju SMJ telah melaksanakan berbagai pendekatan samada berkaitan kemudahan asas, perekonomian, perindustrian, pendidikan dan semua pendekatan itu ada yang telah dirasai rakyat
“Antaranya inisiatif modal insan, biasiswa pendidikan, bantuan rumah SMJ, dan ada yang masih dalam pelaksanaan dan penyiapan seperti projek naiktaraf Loji Rawatan Air Kogopon serta Telibong 2 dan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas Tenom.
“Sebut apa sahaja berkaitan keperluan rakyat secara umum, Kerajaan menerusi Pelan HalaTuju SMJ sedang menanganinya, dan inilah yang menjadi kerisauan kepada pemimpin parti pembangkang di Sabah kerana mereka akan kehilangan modal isu politik mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata pemimpin Parti Pembangkang di Sabah tidak ikhlas untuk membela rakyat dan memajukan Sabah kerana terlalu kuat bermain politik untuk kekal relevan dalam politik Sabah.
“Sehingga menggunakan keadaan kemudahan asas seolah-olah masalah berkenaan hanya berlaku semasa kerajaan hari ini tanpa berbuat apa-apa untuk mengatasinya.
“Kenyataan dan ucapan pemimpin parti pembangkang ini amat melucukan apabila menyentuh masalah masalah legasi berdekad ini sedangkan masalah ini adalah masalah yang diwarisi akibat kegagalan kerajaan lalu.
“ADUN Elopura membangkitkan isu berkaitan air masin di Sandakan, namun pemimpin ini lupa bahawa semasa mereka menjadi kerajaan lalu telah menamatkan kontrak syarikat yang dilantik oleh kerajaan terdahulu tanpa sebab dan melantik syarikat kontraktor baru yang tidak melaksanakan kerja dengan betul,” tegasnya.
Nizam berkata secara umumnya rakyat yang mengetahui kedudukan sebenar apa pun dakyah yang ditabur oleh pemimpin parti pembangkang itu, ianya seperti meludah ke langit jatuh ke muka mereka sendiri.
Katanya jika pemimpin parti pembangkang ikhlas, sepatutnya mereka menjelaskan kepada rakyat bahawa langkah-langkah penyelesaian ke atas masalah-masalah berkaitan telah pun diambil oleh kerajaan dan memberikan ruang masa untuk proses penyelesaian ini berjalan.
Menurutnya tanggungjawab parti pembangkang yang baik ialah memberi teguran yang membina kemajuan dan bukannya pula terlalu bermain politik berusaha mensabotaj segala usaha kerajaan dengan membuat tuduhan seolah olah kerajaan tidak berbuat apa apa langkah penyelesaian.
“Hakikatnya merekalah (parti pembangkang) di Sabah yang gagal mengurustadbir penyelesaian ke atas masalah yang dibangkitkan ketika mereka menjadi kerajaan sehingga ditolak oleh rakyat pada pilihanraya lalu,” kata Nizam.
