KOTA KINABALU: Bangunan lama Pejabat Daerah Sipitang sesuai dijadikan Galeri Sipitang atau Pusat Maklumat Daerah untuk kemudahan pelancong, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob.
Menurutnya, bangunan tersebut merupakan satu-satunya bangunan peninggalan zaman British yang ada di Sipitang.
“Saya telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan pada tahun ini kepada Kementerian Kewangan Negeri tetapi tidak dimasukkan dibawah Pembekalan Tambahan 2024. Saya berharap dapat dimasukkan dalam peruntukan pada tahun hadapan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-16, hari ini.
Beliau berkata, Pusat Maklumat Daerah Sipitang ini perlu amengekalkan struktur lama bagi mengekalkan keaslian warisan bersejarah bangunan berkenaan dan dalamnya dilengkapi dengan konsep moden dan digital untuk informasi Daerah Sipitang.
Katanya, sudah sampai masanya Pusat Maklumat Daerah Sipitang diwujudkan dengan Sipitang kini menjadi sebuah daerah persinggahan pelancong dari Brunei, Kalimantan Indonesia dan Sarawak serta pengunjung dari Kota Kinabalu.
Dalam pada itu, Dr Yusof juga mencadangkan naiktaraf atau pembinaan baharu Dewan Serbaguna Sipitang yang berkapasiti yang kecil.
“Baru-baru ini ada perayaan, mini konsert. Dewan Serbaguna Sipitang tidak dapat menampung orang ramai yang hadir. Sudah sampai masa dewan ini dibuat baharu atau dinaiktaraf.
“Saya cadangkan Dewan Serbaguna Sipitang ini diperbesarkan dan dibuat satu lagi Dewan Baharu di Kampung Pelakat yang jaraknya tiga kilometer dari Pekan Sipitang. Ini jika Dewan Serbaguna Sipitang tidak menampung, kita buat satu lagi dewan serbaguna baharu di Kampung Pelakat,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menyatakan keperluan pembinaan lima jambatan baharu di lima kampung di Sipitang bagi menggantikan laluan jambatan simen yang sering ditenggelami jika air sungai naik.
Katanya, jika air naik, jambatan simen ini akan tenggelam dan menyusahkan penduduk kerana terputus hubungan.
“Saya cadangkan jambatan di Kampung Kelangsat, Marau, Tanah Merah, Mendulong dan Meligan, semua jambatan ini dibawah air dan minta dibuat jambatan baharu yang tinggi.
“Saya minta kita buat perancangan setiap tahun sebuah jambatan dibina dan dalam lima tahun siap untuk lima jambatan ini,” katanya.
