KOTA KINABALU: Usaha memperkasa kesaksamaan, keselamatan dan hak golongan wanita di negara ini perlu pertingkatkan dan diberikan perhatian serius oleh kerajaan.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew Chin Jin berkata ini kerana masih berlaku berat sebelah bagi aspek kesaksamaan gender (lelaki dan wanita) dalam beberapa bidang khususnya pekerjaan.
“Kita tidak perlu melihat jauh kerana wanita Malaysia tidak terkecuali. Mereka masih berjuang untuk melihat lebih ramai penyertaan wanita di Parlimen, dalam bidang ekonomi, pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk wanita, keselamatan wanita dan kanak-kanak perempuan.
“Walaupun kita bangga mengakui telah mencapai beberapa kemajuan dalam memansuhkan undang-undang yang mendiskriminasi wanita sejak pembentukan Malaysia pada 1963, kita tidak boleh mengabaikan laungan berterusan wanita Malaysia terhadap diskriminasi jantina dari perspektif pengambilan, pekerjaan, ketidaksamaan dalam tempat kerja (atau diskriminasi tempat kerja), peluang kenaikan pangkat, pemecatan yang salah, penamatan perkhidmatan atau pun dari segi pencalonan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christina mengulas sempena Tema Hari Wanita Antarabangsa (IWD) tahun ini iaitu ‘Break The Bias’.
Beliau berkata, tidak dinafikan Malaysia berjaya melaksanakan dasar Kerajaan iaitu 30 peratus sasaran untuk penyertaan wanita dalam membuat keputusan dalam sektor awam.
Bagaimanapun, perkara yang sama tidak boleh dikatakan mengenai situasi dalam arena politik yang didominasi lelaki di mana wanita secara kasar kurang diwakili dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan Malaysia menyemak semula beberapa dokumen asas yang mengabadikan kesaksamaan gender dan tanpa diskriminasi terhadap wanita.