KOTA KINABALU: Keputusan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meneruskan operasi perobohan setinggan Kampung Bakau dan Jalan Saga Likas dilihat tidak selaras dengan slogan ‘Aspirasi Keluarga Malaysia.’
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Darau, Azhar Matussin berkata, ini kerana dalam suasana pandemik COVID-19, sudah tentu penghuni yang mendiami kawasan ini tertekan selepas kehilangan sumber pendapatan sekali gus tiada tempat berteduh apabila rumah mereka dirobohkan.
Katanya, sepatutnya DBKK tidak meneruskan petobohan tersebut sebaliknya membantu penduduk mencari tempat berteduh alternatif seperti mengenalpasti flat PPR untuk mereka.
“Kita tidak menghalang tugas serta tanggungjawab DBKK, namun dalam masa sama….perlu ada sikap tolak ansur bagi membolehkan 39 rumah setinggan dengan membabitkan 70 keluarga dapat menarik nafas lega apabila dapat rumah baharu.
“Kami sangat memahami tugas DBKK. Tapi mereka juga perlu perihatin terhadap masalah dialami oleh penduduk yang rumah mereka dirobohkan.
“Adakah langkah ini bersesuaian dengan slogan yang dilaungkan Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke kawasan Kampung Bakau dan Kampung Jalan Saga Likas yang terlibat dalam perobohan rumah, di sini hari ini.
Azhar berkata, dalam tempoh jangka masa panjang, kerajaan negeri atau DBKK berusaha untuk mencari lokasi baharu kediaman secara kekal bagi membolehkan penghuni setinggan ini mendapat rumah selaras dengan kemampuan mereka.
“Untuk makluman DBKK, semua penghuni setinggan ini adalah warganegara Malaysia.
“Mereka sudah tinggal lebih 37 tahun di kawasan ini. Oleh itu DBKK harus memberi pertimbangan yang sewajarnya agar mereka boleh menangguhkan atau sekali gus membatalkan operasi perobohan rumah setinggan ini,” katanya.