TAWAU : Pelajar diingatkan agar memanfaatkan aktiviti berjalan kaki bagi mengawal berat badan, mengurangkan stres sekali gus mampu mengelak dijangkiti penyakit diabetes.
Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Tawau, Mohd Faiz Ridwan Mohd Noor berkata, banyak manfaat boleh diperoleh hanya berjalan kaki, antaranya mampu meningkatkan terhadap kesihatan seluruh anggota badan.
Katanya, mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika aktiviti berjalan kaki ini dilakukan secara konsisten, ia dapat mengawal seseorang dijangkiti penyakit.
“Kempen Berjalan 10,000 Langkah Sehari dilancarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan saranan kerajaan bagi menggalakkan masyarakat dapat menjalani kehidupan secara lebih sihat dan aktif.
“Statistik dikeluarkan KKM menunjukkan satu daripada kalangan enam rakyat Malaysia merupakan didapati menjadi penghidap diabetes,” katanya.
Mohd Faiz Ridwan berkata, kempen ini dilihat satu usaha untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat terutama pelajar agar sentiasa membudayakan aktiviti berjalan kaki sebagai rutin seharian mereka.
“Kita memuji usaha Politeknik Tawau Sabah (PTS) bersama dengan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Tawau menganjurkan Kempen 10,000 Langkah Sehari tepat pada masanya,” jelasnya.
Antara terlibat dalam program ini termasuk Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tawau dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Tawau melalui kategori dipertandingkan selama empat minggu.
Pelbagai agensi terlibat dalam kempen ini termasuk Pejabat Belia dan Sukan Tawau, Lembaga Tabung Haji cawangan Tawau, Klinik Kesihatan Balung serta syarikat Marrybrown dan McDonald’s.
