KOTA KINABALU : Kementerian Kemajuan Luar Bandar perlu menyelesaikan segera kelewatan pembayaran elaun Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau mahu pembayaran elaun mengikut jadual agar ia tidak menjadi runggutan dalam kalangan mereka.
Katanya, dalam tempoh sama beliau mahu kementerian memantau prestasi pegawai di pejabat daerah sekali gus memastikan kerja-kerja dijalankan mengikut jadual.
“Saya juga mengarahkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar untuk memperkemaskan proses pentadbiran di semua pejabat daerah di negeri ini.
“Kementerian ini sangat penting untuk memastikan setiap tanggungjawab bagi mentransformasikan kawasan luar bandar serta meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Sembulan di sini hari ini.
Hajiji berkata, beliau mengingatkan agar semua pegawai daerah bahawa tugas mereka sangat penting bagi memastikan agenda pembangunan Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan cekap, katanya.
“Projek pembangunan luar bandar negeri dan persekutuan mesti dilaksanakan mengikut jadual. Ini juga termasuk program kesedaran kepada penduduk luar bandar.
“Paling penting, menjadi tugas pegawai daerah untuk menyelesaikan masalah di daerah masing-masing,” jelas Hajiji.
