KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim hari ini mengesahkan beliau keluar daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) berkuat kuasa serta-merta.
Juil merupakan Timbalan Presiden KDM sebelum ini memaklumkan bahawa akan kekal sebagai ADUN Bebas yang menyokong kepimpinan kerajaan Sabah yang dipimpin Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
“Ya saya sahkan hari ini keluar (KDM), kini sebagai ADUN Bebas buat masa ini. Saya ADUN bebas yang menyokong pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji dan kerajaan negeri Sabah.
“Setakat ini saya belum untuk menyertai parti lain, kita tengok dulu mana parti yang boleh membawa pembangunan dan kemajuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ketika ditanya berkemungkinan besar mempunyai perselisihan dengan kepimpinan KDM, Juil berkata, hasratnya untuk kekal menyatakan hanya mahu membawa pembangunan untuk kawasan yang diwakilinya.
Sebelum itu, kerajaan Sabah dijangka akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung minggu depan.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew yang menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) Sabah menyokong penuh RUU Anti Lompat Parti itu.