Kekalkan perpaduan hindari perpecahan

LAHAD DATU: PAS Sabah menyeru semua parti politik supaya mengekalkan perpaduan dan menghindari perpecahan bagi mencapai kemenangan.

Ketua Penerangannya, Ahmad Dullah, berkata agenda perpaduan parti politik ini penting bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 15 untuk memastikan kemenangan dan mengelakkan pertembungan seperti yang berlaku dalam PRU-14 yang lalu.

“Hanya ini sahaja cara bagi menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti gabungannya memerintah semula. Kesan 22 bulan PH memerintah sangat memeritkan kehidupan rakyat.

“Hanya dengan cara menyatukan semua pihak untuk mendukung agenda perpaduan ini dan bersama membina semula negara Malaysia yang sejahtera dapat menghalang PH memerintah semula,” katanya.

Ahmad turut menegaskan beberapa prinsip utama perpaduan yang telah digariskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar beliau iaitu Adil Kepada Semua dan Satu Keluarga Malaysia.

PAS Sabah menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin agar semua pihak memberi fokus agenda perpaduan ini dalam PRU15 akan datang, selaras dengan saranan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin.