Kedudukan GRS, BERSATU Kota Marudu kekal kukuh – Hajiji

KOTA MARUDU: Kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Marudu tetap kukuh meskipun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau Datuk Wetrom Bahanda meninggalkan parti itu malam tadi.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, BERSATU akan terus memberikan sokongan kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili sebagai calon di Parlimen Kota Marudu.

Katanya, semua pihak perlu berwaspada agar tidak melakukan kesilapan dengan memberi laluan mudah kepada Parti Warisan dalam Raya Umum Ke-15 (PRU15.

“Kita tahu tujuan mereka (Warisan)..cakap tidak serupa bikin, hanya tahun bercakap, tiada apa yang mereka lakukan ketika memerintah di Sabah.

“Tiada hala tuju…Hanya tahu bermakna berpolitik sahaja tanpa memikirkan kepentingan rakyat berbilang kaum di Sabah,” katanya ketika dalam Jelajah GRS Kota Marudu di sini, hari ini.

Hajiji berkata, kepimpinan Maximus dari Parti Bersatu Sabah (PBS) masih releven dalam kalangan rakyat di sini.

“Beliau telah melakukan banyak kemajuan kepada Kota Marudu, walaupun wujud sesetengah pihak khususnya pembangkang yang menyatakan tiada pembangunan di sini, ini adalah tidak benar, ia adalah penipuan semata-mata.

“Kita boleh melihat sendiri Kota Marudu sudah mengalami transformasi positif sejak beliau (Maximus) menjadi Ahli Parlimen di sini dan sebagai Menteri di persekutuan,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, Dr Maximus adalah seorang pemimpin yang sangat dihormati di peringkat persekutuan kerana beliau sentiasa memperjuangkan hak untuk Sabah dari awal sehingga kini sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata, GRS adalah platform menyatupadukan semua parti tempatan yang mewakili pelbagai bangsa di negeri ini agar kerajaan persekutuan akan mendengar suara pemimpin Sabah.

“Saya berharap rakyat akan memahami asas pembentukan GRS, kita tidak boleh mengulangi kesilapan pada masa lalu, kita senang berpecah dan gagal untuk mendapatkan hak kita disebabkan kita tidak bersatu,” katanya.