Kebakaran Gudang SESB berjaya dipadam sepenuhnya – Bomba

KOTA KINABALU : Kebakaran yang berlaku di gudang penyimpanan kabel seluas 1.49 hektar, milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Jalan Menggatal, berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 4.30 petang semalam.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilfred Sulai berkata, kebakaran itu melibatkan satu kawasan lot tanah lapang, yang menjadi tempat penyimpanan stok gedung kabel elektrik pelbagai saiz.

“Jumlah keseluruhan kabel disimpan di kawasan itu sebanyak 1,426 gelung dan terbakar sebanyak 1,046 gelung, manakala yang dapat diselamatkan sebanyak 380 gelung,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Wilfred berkata tiada kemalangan jiwa atau kematian dilaporkan, dan pihaknya dapat menyelamatkan sebuah stor penyimpanan transformer, minyak hyaxoil, dan mesin feeder pillar.

Beliau berkata, pemindahan kabel SESB yang diselamatkan dilakukan pukul 2.45 petang tadi oleh tiga petugas SESB, menggunakan sebuah kren dan dua buah forklift.