KDM: Wain lama dalam botol baharu

Oleh: Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung

KOTA KINABALU: Teka-teki apakah mantan Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Peter Anthony akan mengubah Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM) menjadi sebuah parti politik terjawab apabila beliau mengumumkan parti baharunya Kesejahteraan Demokratik Masyarakat atau singkatannya KDM.

Biarpun berbeza nampak seumpama mirip.

Melihat barisan ahli jawatankuasa pro tem parti berkenaan analoginya adalah ‘wain lama dalam botol baharu” (“old wine in a new bottle”).

Peter merupakan Presidennya manakala timbalan adalah Datuk Juil Nuatim yang bersama-sama keluar dari parti Warisan pada penghujung Disember 2021.

Terdahulu mereka pernah bersama-sama dalam UMNO.

Pencarian secara sepintas lalu nama pro tem tersebut dalam Google mendedahkan mereka berlatar belakangkan parti politik yang berlainan sama ada sudah berkecimpung secara langsung sebagai barisan hadapan mahupun terlibat secara tidak langsung di sebalik tabir.

Polemik yang menarik di sini adalah hasrat KDM menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pasti ramai yang akan tertanya-tanya tidakkah ini terlalu awal dan perlukah mereka membuktikan kesetiaan mereka terlebih dahulu.

GRS sudah pastinya ingin mengelakkan diri dari sebarang khabar angin yang negatif mahupun diselubungi tohmahan atau pandangan serong sebagai tempat ‘parti oportunis’ berlindung.

Maka ada baiknya parti KDM mengambil sedikit masa untuk menunjukkan kredibiliti parti mereka sekali gus kemampuan meraih sokongan rakyat.

Sudah pastinya GRS yang boleh dianggap masih baharu mempunyai banyak perkara mendesak yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Pandangan daripada rakan sekutu bersama-sama mengharungi Pilihan Raya Sabah (PRN) 2020 sehingga berjaya membentuk kerajaan sudah pastinya perlu didahulukan apatah lagi bagaimana dengan status parti yang terdahulu memohon untuk menyertai GRS.

Sebarang kata putus haruslah bersandarkan kepada keputusan kolektif.