Kawalan aktiviti taman awam di Kota Kinabalu akibat angin kencang, laut bergelora

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tidak membenarkan sementara aktiviti berkhemah sekitar taman, mandi-manda di pantai serta menjaja dalam taman di empat lokasi taman awam selenggaraan DBKK sebagai langkah keselamatan terutama ketika sambutan tahun baru 2023.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata kawalan aktiviti di taman awam itu   selaras dengan notis amaran angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bertarikh 27 Dis 2022 berkuat kuasa sehingga 3 Jan 2023.

“Empat kawasan terlibat adalah Taman Awam Tanjung Aru 1 DBKK, Taman Awam Teluk Likas, Taman Awam Teluk Likas 2 serta Cycleway Fasa 3 (Sungai Darau),” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya aktiviti seperti berkunjung ke taman, berbasikal, jogging, serta operasi gerai Anjung Perdana dan bangunan Anjung Selera adalah dibenarkan.