Kapitan Sabah perlu main peranan rapatkan hubungan masyarakat Cina, kerajaan – Nizam

Nizam Abu Bakar Titingan (gambar fail)

TAWAU: Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mahu Ketua Masyarakat Cina atau Kapitan yang baru dilantik oleh kerajaan negeri memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang perhubungan antara masyarakat Cina dengan kerajaan.

Nizam berkata Kapitan harus menggunakan kepercayaan diberikan kerajaan Sabah dengan sebaiknya dalam menjalankan tanggungjawab menyampaikan mesej-mesej betul termasuk usaha kerajaan terhadap pembangunan masyarakat Cina di negeri ini.

“Kita sedia maklum, ramai masyarakat Cina sudah terpengaruh dengan kempen-kempen (berbaur) hasutan terutama melibatkan perkauman yang dilakukan oleh pihak pembangkang.

“Kalau dahulu kaum Cina lebih terbuka dan boleh bersatu dengan yang lain, namun sejak pihak pembangkang mentadbir negara sebelum ini menyebabkan ada sebahagian masyarakat ini sudah berpecah belah,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Terdahulu, Nizam menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Cina dan meraikan pelantikan Kapitan baharu daerah ini.

Nizam berkata kerajaan Sabah akan sentiasa bersifat terbuka dan komited untuk terus memperkasa perpaduan sekali gus membina semangat kekitaan dalam kalangan rakyat khususnya masyarakat Cina di negeri ini sebagai usaha memelihara keharmonian kaum yang sedia terjalin.

Dalam pada itu, Nizam berkata kerajaan negeri ketika ini antara lain memberi fokus untuk menangani isu pandemik COVID-19 termasuk membantu pasukan barisan hadapan dan memulihkan semula ekonomi negara bagi memastikan pembangunan negeri dan daerah dapat dilakukan dengan lebih baik.

“Justeru, saya berharap semua masyarakat Cina di daerah ini memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah untuk mentadbir negeri dan tidak mudah terhasut dengan permainan politik pihak pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas berharap perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba tidak lama lagi disambut dengan meriah bersama keluarga di rumah mengikut prosedur operasi standard ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Ini bagi memastikan tidak berlaku sebarang kes penularan wabak itu dalam kalangan masyarakat semasa menyambut perayaan berkenaan, katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply