Kanak-kanak rentung dalam kebakaran 40 buah rumah di Tawau

TAWAU : Seorang kanak-kanak rentung dalam kebakaran mengakibatkan sebanyak 40 buah rumah dalam kebakaran di Kampung Jati Batu 5 di Tawau di sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Timbalan Penguasa Bomba II Jemishin Ujin berkata, mangsa dikenal pasti seorang lelaki berusia lima tahun ditemui rentung pada jam 4.50 pagi kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian tersebut pada jam 12.55 tengah malam tadi kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian pada jarak 10 kilometer.

“Bomba Tawau bersama 25 anggota serta enam orang Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Titingan diketuai Komander Operasi PBKII Sulaiman MD Salleh berjaya memadamkan kebakaran pada jam 2.28 awal pagi tadi.

“Operasi pemadaman kebakaran ini menggunakan satu aliran dua pancutan 1200 kaki sumber air melalui bekalan air terbuka. Kita akan mengemaskini maklumat lanjut dari semasa ke semasa berkaitan kejadian ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jemishin berkata, operasi ditamatkan pada jam 6.06 pagi tadi sekali gus berjaya menyelamatkan lebih 68 buah rumah di kawasan berhampiran.