BENTONG: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan amaran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang dikesan mengambil kesempatan dengan menyorok stok beras putih tempatan (BPT).
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan mengheret pihak berkenaan ke muka pengadilan sekiranya didapati melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.
Beliau mengaku memang ada pihak yang sanggup bertindak sedemikian di tengah-tengah kekurangan stok bahan mentah dalam pasaran negara, demi mengaut keuntungan.
“Kemudian ada juga dalam kalangan yang salah guna, sorok, simpan… saya beritahu kepada saudara Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu), arahan yang jelas kepada badan penguat kuasa. Kalau ada yang berani buat perangai buruk dalam keadaan orang susah mencari beras, kamu sorok… kamu jaga.
“Kami akan cari kamu dan sama ada bawa kamu ke mahkamah… tengah orang susah, masa itu kamu nak cari untung,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dataran Simpang Pelangai, di sini, malam ini.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), dan Mohamad yang juga Presiden AMANAH.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi BN Pahang, dan Timbalan Ketua Kepimpinan Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY) merangkap Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, turut hadir.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sentiasa berusaha menyelesaikan isu beras tetapi mengakui ia memerlukan sedikit masa.
“Kita cuba tetapi apakah boleh selesai 100 peratus? Tidak, beras ini isu, masalah berat… jadi saya kata beri masa seminggu tengok keadaan dia. Kalau tak selesai lagi, kita bincang semula sebelum pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober ini,” katanya.
Perdana Menteri memaklumkan isu beras turut berlaku di negara lain, termasuk harganya terpaksa dinaikkan berikutan negara pembekal telah memberhenti atau mengurangkan eksport beras mereka.