Subsidi beras import langkah tepat atasi isu harga, bekalan beras – Pengguna Sabah

KOTA KINABALU: Persatuan pengguna di Sabah melihat keputusan kerajaan Persekutuan memberi subsidi RM950 bagi setiap tan metrik beras putih import (BPI) kepada Sabah dan Sarawak, mulai 5 Okt ini, sebagai langkah tepat dalam mengatasi isu harga dan bekalan di negeri itu.

Mengalu-alukan inisiatif berkenaan, Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah David Chan berkata ia juga menjadi berita baik untuk pengguna dalam kalangan B40 dan pengusaha makanan di Sabah sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup dihadapi ketika ini.

“Beras adalah barang asas untuk setiap isi rumah. Kenaikan harga beras juga akan mempengaruhi kos sara hidup keseluruhan. Bagaimanapun, orang ramai digesa supaya tidak membuat spekulasi kekurangan beras bagi mengelakkan kekecohan,” katanya, di sini hari ini.

Katanya aktiviti pemantauan perlu ditingkatkan bagi memastikan tidak ada peniaga atau pengguna mengambil kesempatan dengan langkah kerajaan memberi subsidi kepada BPI itu.