KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanahairku (Star) menegaskan bahawa semua penyelesaian diperlukan bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah yang sudah berdekad lamanya dengan keutamaan diberikan kepada pelaksanaan cadangan Kad Pengenalan (KP) Sabah kepada rakyat Sabah.
Naib Presidennya Kenny Chua berkata cadangan KP Sabah kepada rakyat Sabah bukan sahaja akan memisahkan penduduk tempatan dan warga asing tetapi juga menyingkirkan warga asing yang memegang dokumen yang meragukan.
“Masalahnya ialah sukar untuk memberitahu siapa yang memegang dokumen tulen atau palsu. Semua ini kerana isu Projek IC yang terus menghantui kita. Ia telah mengubah demografi negeri tercinta.
“Jadi, apa pilihan yang kita ada selain mahu mengeluarkan KP Sabah sendiri kepada rakyat Sabah. Dan adalah penting bahawa agensi pengeluar mestilah di bawah Kerajaan Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Chua tidak bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden Warisan Datuk Jaujan Sambakong yang mencadangkan cadangan KP Sabah kepada rakyat Malaysia di Sabah bukanlah penyelesaian kepada masalah dokumen yang meragukan.
Jaujan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sulabayan menyatakan bahawa Mahkamah Anak Negeri perlu diberi kuasa untuk membantu mengesahkan asal usul mana-mana pemohon kerakyatan Malaysia.
“Bagaimana Jaujan boleh mengatakan cadangan KP Sabah bukan penyelesaian? Sudah tentu Mahkamah Anak Negeri boleh memainkan peranan mereka. Malah, adalah lebih baik semua sistem dan institusi berfungsi sebagai satu unit supaya boleh menyemak silang setiap permohonan,” katanya.
Beliau berkata proses untuk menentukan asal usul seseorang pemohon mungkin mengambil masa yang lama dan boleh disalahgunakan.
“Bagaimana mungkin seseorang yang berasal dari Pakistan boleh memegang KP Malaysia. Adakah seorang ketua masyarakat mengisytiharkan bahawa dia dilahirkan di kampung tertentu kepada keluarga tempatan tertentu?” kata Chua.
Chua berkata sebenarnya tidak sukar untuk membezakan antara rakyat Sabah dan warga asing jika sistem itu telus dan tanpa campur tangan politik.
Beliau menambah kenyataan Jaujan itu telah bercanggah dengan ahli partinya sendiri, Datuk Darell Leiking, yang merupakan Timbalan Presiden Warisan.
Semasa Warisan memerintah, Darell telah mengulangi pendiriannya mahu kerajaan persekutuan mempertimbangkan pengeluaran KP Sabah yang mencadangkan boleh digunakan bersama MyKad.