KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan kes rasuah melibatkan penjawat awam negeri menurun sebanyak 87 peratus dalam tempoh empat tahun kebelakangan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini berikutan usaha bersepadu SPRM bersama kerajaan negeri membanteras gejala itu sehingga mencatatkan penurunan ketara sekali gus jelas memperlihatkan tahap kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah semakin meningkat.

Katanya, statistik SPRM menunjukkan sebanyak 47 kertas siasatan dibuka tahun 2018 kemudiannya menurun kepada 11 pada 2019, sembilan pada 2020 serta sehingga Ogos tahun ini hanya enam kes disiasat.
“Ia mencerminkan kesungguhan serta kesediaan rakyat Sabah bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah khususnya di negeri ini.
“Kerajaan negeri mengambil langkah mewajibkan sektor awam untuk mewujudkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) bagi memastikan tahap integriti tinggi kalangan penjawat awam dan menangani gejala rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa peringkat negeri Sabah di Menara Kinabalu, dekat sini hari ini.
Hajiji berkata, beliau menyeru kepada semua memberikan komitmen padu dalam pelaksanaan pelan itu merupakan salah satu inisiatif dalam mempersiapkan organisasi komersial kerajaan agar mempunyai tatacara mencukupi selaras dengan peruntukan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009
“Sembilan daripada 11 kementerian negeri sudah melaksanakan OACP masing-masing,
selain daripada memantapkan lagi tadbir urus dan integriti, pelaksanaan OACP dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat Sabah terhadap sistem penyampaian pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.