KOTA KINABALU: Kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub hari ini membuktikan frasa “Keluarga Malaysia” diterjemahkan dalam memenuhi aspirasi rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pelantikan enam wakil dari Sabah sebagai dua Menteri Penuh dan empat Timbalan Menteri dalam barisan kabinet baharu disifatkan sebagai pengiktirafan untuk rakyat di Sabah.
Sambil menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pelantikan tersebut,Bung yang juga Menteri Kerja Raya berharap barisan kepimpinan kabinet baharu itu mampu mewujudkan satu pasukan yang mantap dan berwibawa sebagaimana yang ditekankan oleh Perdana Menteri iaitu kabinet ini adalah satu pasukan pengurusan yang berkerja sama bersama rakyat yang perlu bertindak pantas dan bersepadu.
“Kita sedar dan insaf, pada ketika rakyat masih bergelut dengan penularan pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat menaruh harapan cukup besar kepada kabinet baharu ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan disini bagi mengulas kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini.
Menurut Bung , kejayaan sesebuah kabinet itu bergantung kepada kerjasama dan Ahli Kabinet yang perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan telus demi kepentingan rakyat.
Katanya, strategi pelaksanaan penting dalam memastikan kedudukan institusi kerajaan yang kukuh dan diperkasakan di mata rakyat, dimana negara perlu ditadbir secara strategik agar pentadbiran baharu ini dapat membawa negara ke landasan ekonomi yang betul dan dapat mengawal penularan pandemik Covid-19.