BEAUFORT: Program Klinik Katarak Kementerian Kesihatan Malaysia (K4M) merupakan ruang terbaik masyarakat luar bandar untuk mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu ke Hospital Queen Elizabeth (QEH).
Pakar Perunding Oftalmologi, Jabatan Oftalmologi QEH, Dr. Caroline Binson, berkata pihaknya membawa sendiri peralatan pembedahan disamping menyediakan tenaga pakar serta petugas bagi memudahkan pesakit tanpa perlu bersusah payah ke QEH.
Katanya, perkhidmatan K4M dilihat menjimatkan masa pesakit sekali gus mengurangkan masa menunggu disamping menjimat perbelanjaan bagi mendapatkan rawatan di ibu negeri.
“Sebagai contoh di Hospital Beaufort ini sahaja seramai 29 pesakit berjaya mendapat manfaat hadil program K4M yang diadakan pada 03 dan 04 Jun lalu.
“Kita menyediakan 10 petugas doktor pakar serta petugas dari Jabatan Oftalmologi, QEH serta Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah bagi program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Dr Caroline berkata, program ini sangat dinantikan penduduk setempat selaras “care closer to home” sekali gus dapat menggembleng kepakaran bagi membantu masyarakat di luar bandar untuk mendapatkan rawatan.
“Setakat Januari hingga Jun tahun ini K4M merekodkan 220 pesakit sudah mendapat rawatan iaitu membabitkan daerah Tawau dan Kota Belud,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan sama Pengarah Hospital Beaufort, Dr Ridwan Hashim melihat program ini dapat mewujudkan kerjasama membabitkan tenaga pakar bagi membantu masyarakat setempat terutama di daerah Beaufort.