JWP tubuh tiga Pasukan Petugas Khas untuk pulihkan ekonomi Labuan

LABUAN: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah menubuhkan tiga pasukan petugas sebagai usaha merancakkan semula ekonomi Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa berkata pasukan petugas yang dibentuk itu akan ditumpukan kepada pembangunan pelancongan, pembinaan jambatan Labuan-Menumbok dan meningkatkan aktiviti pindah kapal.

“Pasukan Petugas yang diterajui oleh Ketua Pengarah JWP yang turut melibatkan penyertaan pihak berkepentingan, telah pun mengadakan mesyuarat pertamanya.

“Kami komited untuk melaksanakan strategi tindakan dengan segera, manakala inisiatif utama seperti pembinaan jambatan Labuan- Menumbok akan dikemukakan untuk perhatian Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai Labuan Liberty Port oleh pengendali pelabuhan itu, Megah Port Management (MPM) Sdn Bhd di sini, pada Ahad lepas.

Dr Zaliha melahirkan keyakinan terhadap masa depan Labuan yang menerima lawatan kerap daripada Menteri Kabinet selain dua timbalan perdana menteri, menunjukkan petanda baik untuk prospek pulau bebas cukai berkenaan.

Pada masa sama, katanya, pasukan petugas itu juga akan ditumpukan terhadap kepentingan aktiviti pindah kapal yang akan memperincikan butiran teknikal dan penambahbaikan dasar, dengan perancangan yang melibatkan Kementerian Pengankutan.

“Dalam perbincangan bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke baru baru ini, telah ditekankan tentang usaha untuk meningkatkan ketersambungan menerusi peningkatan penerbangan dari dan ke Labuan,” jelasnya.

Sementara itu beliau berkata, Kementerian Kerja Raya akan mengetuai kajian teknikal berkaitan cadangan pembinaan jambatan Labuan-Menumbok.

Beliau turut menyatakan
komitmen bagi memacu sektor pelancongan Labuan termasuk penambahbaikan terhadap acara pelancongan seperti Labuan International Sea Challenge (LISC) yang dianjurkan setiap tahun oleh Perbadanan Labuan dengan kerjasama beberapa rakan strategik mereka.