JPN kesan ibubapa anak OKU daftarkan kad pengenalan: Yakub

Yakub ditemubual pemberita.

Oleh: Zakaria Damit
KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri Sabah sedang mengesan Ibu bapa penjaga kepada Anak-Anak Kelainan Upaya (OKU) bagi membolehkan proses pendaftaran dokumentasi Kad Pengenalan dapat dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, pihaknya akan membantu JPN mengesan serta mengenalpasti waris mereka bagi membolehkan anak-anak ini memperolehi kad pengenalan melalui saluran yang sah.

Katanya, usaha ini dilihat penting bagi memastikan mereka ini dapat memiliki dokumentasi wajib sekaligus dapat memiliki taraf kewarganegaraan yang sah.
Anak-anak OKU bergambar untuk mendapatkan kad pengenalan yang sah

“Setakat ini kita kenalpasti lapan orang anak-anak OKU ini tidak mempunyai dokumentasi, namun hanya empat orang sahaja berjaya didaftarkan.

“Empat lagi akan diproses selepas pihak JPN memperolehi maklumat yang sahih daripada keluarga atau waris terdekat mereka. Ini adalah faktor halangan utama menyukarkan proses pengeluaran kad pengenalan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program Sentuhan Kasih Bukit Harapan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPN Sabah, Khairrul Aminus Kamaruddin dan Pemegang Amanah Rumah Bukit Harapan, Datuk Brenndon Soh.

Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai berkata, pihaknya yakin JPN mempunyai kaedah terbaik bagi mengesan penjaga serta ibu bapa anak-anak OKU ini sekaligus bagi membolehkan proses pendaftaran dokumentasi dapat dijalankan dalam tempoh terdekat.

“Kita menaruh keyakinan tinggi kepada pihak JPN agar dapat menyelesaikan masalah pendaftaran kad pengenalan anak-anak OKU ini….memandangkan ada kalangan penjaga mereka tidak dapat dikesan sejak kebelakangan ini,”katanya.

Beliau juga akan memberi perhatian serius terhadap beberapa pusat penjagaan OKU sekitar kawasan DUN Karambunai tidak akan mengalami masalah sama bagi mendapatkan proses dokumentasi penting melibatkan kad pengenalan diri mereka.

Sementara itu ketika ditanya pemberita berkaitan kadar caj yang sudah dikenakan kepada anak-anak OKU ini berikutan ketiadaan dokumentasi yang sah Yakub berkata, pihaknya akan berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia agar dapat memberi pertimbangan sewajarnya terhadap masalah ini.

Yakub (kanan) mendengar taklimat daripada pegawai JPN

“Kita mencadangkan agar pihak kementerian kesihatan mengurangkan kadar caj tersebut atau menghapus kira pembayaran tersebut berikutan anak-anak OKU ini tidak memiliki dokumentasi yang sah,” katanya.

Yakub menyeru agar orang ramai serta tokoh korporat tampil membantu rumah anak-anak OKU bagi membolehkan mereka terus beroperasi disamping memastikan segala kebajikan mereka dapat terperlihara sepanjang masa.

SabahNewstoday

Leave a Reply