KOTA KINABALU : Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta pemegang Diploma disaran mengikuti Program Jom Masuk Universiti (JMU) peringkat Zon Sabah bermula April hingga Mei ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, program JMU ini memberi peluang kepada pelajar, ibu bapa serta masyarakat umum berinteraksi secara langsung bersama wakil institusi pendidikan tinggi.
Katanya, secara tidak langsung mereka akan dapat merancang masa depan pendidikan secara lebih jelas sekali gus memperoleh maklumat jelas berkaitan kursus yang diminati.
“Jom Masuk Universiti ini diadakan di Kompleks Sukan Sandakan pada 19 hingga 20 April 2025 manakala di Universiti Malaysia Sabah (UMS) 10 hingga 11 Mei depan,” katanya di sini semalam.
Mustapha merupakan Ahli Parlimen Sepanggar berkata, langkah ini merupakan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membawa lebih banyak akses maklumat pendidikan tinggi lebih secara terus kepada rakyat.
“Ini terutamanya kepada mereka yang berada di kawasan luar bandar supaya memperoleh maklumat jelas terhadap pendidikan mereka.
“Kita memohon kerjasama daripada semua pihak, termasuk pemimpin masyarakat, guru-guru serta agensi berkaitan untuk menyokong pelaksanaan program Jom Masuk Universiti ini,” jelas Mustapha.
Menurutnya, langkah ini penting bagi memastikan lebih ramai anak Sabah memperoleh akses pendidikan tinggi yang inklusif dan berkualiti pasa masa depan.