John Ambrose tidak perlu risau, Warisan tidak seperti Bersatu – Mohd Ismail

KOTA KINABALU: Ketua Wira Warisan, Mohd Ismail Ayub tidak menolak desas-desus tersebar di media sosial mengatakan kerajaan negeri Sabah bakal bertukar melalui jajaran politik baharu.

Katanya, jika perubahan itu demi kebaikan Sabah dan untuk menunaikan hak-hak negeri ini, maka segala berkemungkinan boleh berlaku.

“Parti Warisan bukanlah seperti Bersatu menggunakan taktik kotor ketika menumbangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selepas Langkah Sheraton pada 2020.

“Tidak perlu takut, Warisan tidak seperti Bersatu apabila Langkah Sheraton di Persekutuan, Sabah diganggu pentabirannya dengan ugutan dan tangkapan.

“Kalau perubahan di peringat negeri Sabah merupakan jalan penyelesaiaan untuk kita laksanakan pembangunan dan tuntutan melibatkan hak Sabah kenapa tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ismail mengulas kenyataan Senator, Datuk John Ambrose baru-baru ini yang berharap agar Mohd. Shafie tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menggugat kerajaan negeri sekarang.

Ambrose berkata, meskipun Warisan telah terlebih dahulu menyatakan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun GRS juga telah membuat keputusan yang sama.

Bagaimanapun hakikatnya, GRS turut dianggotai parti Bersatu yang merupakan tulang belakang Perikatan Nasional (PN) yang menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, ketika krisis pelantikan Perdana Menteri ke-10 berlaku, Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Moktar mendakwa GRS mengisytiharkan perang ke atas BN apabila memungkiri janji dengan menyatakan sokongan kepada PN untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.

Menurut Bung, GRS melanggar perjanjian kerjasama dengan BN yang menetapkan parti itu perlu menyatakan sokongan kepada BN untuk membentuk kerajaan.

Berikutan itu timbul polemik di media sosial mengatakan jajaran politik baharu akan dibentuk di Sabah.

Sebagai parti tunggal, Warisan mempunyai kerusi DUN terbanyak iaitu 19 kerusi justeru mengikut perkiraan, gabungan Warisan dengan parti-parti lain mampu menumbangkan kerajaan Datuk Seri Hajiji Nor.

Sementara itu, Mohd. Ismail memberi kata dua kepada GRS agar meneruskan agenda pembangunan rakyat ketika ini bukannya terus berpolitik.

“Adalah lebih baik kerajaan sekarang fokus kepada pembangunan negeri Sabah,” katanya.