JOHOR BAHARU: Barisan Nasional (BN) Sabah bersedia memastikan kemenangan penuh kepada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata BN Sabah ditugaskan menjaga DUN Tiram serta Putri dalam Parlimen Tebrau manakala DUN Permas serta Johor Jaya di Parlimen Pasir Gudang.
Katanya, BN Sabah mempunyai pengalaman luas dalam PRN Sabah, Melaka serta beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sekali gus bersedia menerima cabaran bagi memastikan kemenangan besar kepada PRN Johor kelak.
“BN Sabah diberikan tanggungjawab membantu jentera parti berkempen. Kita sahut cabaran ini berdasarkan semangat kerja berpasukan, strategi serta gerak kerja menjelang dalam kempen nanti.
“Kita tidak perlu melihat keputusan Pilihan Raya Umum (PRU-14). Pada ketika itu fikiran rakyat dipesongkan dengan pelbagai fintah, propaganda pihak pembangkang.
“Antaranya 1MDB serta GST. Tapi kita lihat selepas 22 bulan Pakatan Harapan (PH) bersama Perikatan Nasional (PN) tumbang manakala hasilnya rakyat dapat menilai sendiri kegagalan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Taklimat dan Penyerahan Negeri Angkat Jentera BN PRN Johor bagi Pusat Operasi Zon Selatan di sini semalam.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata dalam tempoh sama halangan utama dalam kempen itu nanti adalah pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dilihat menyukar sedikit pengerakan jentera kempen.
“Cabaran kedua adalah mengesan pengundi baharu terdiri daripada kalangan pengundi muda yang pertama kali mengundi dalam PRN Johor ini,” katanya.