Jannie Lasimbang digesa fokus isu infrastruktur Sabah bukan fikirkan kerjasama UMNO – Warisan sebagai ancaman kepada PH Sabah – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU :  Pakatan Harapan (PH) Sabah perlu fokus tugas utama menyelesaikan masalah infrastruktur rakyat daripada memikirkan kerjasama UMNO – Warisan sebagai ancaman menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Jannie Lasimbang terlalu ‘Angkuh’ mengatakan PH tidak akan terancam oleh mana-mana gabungan antara UMNO Sabah – Warisan sehingga membuktikan mereka boleh bekerja dengan cukup baik.

Katanya, beliau ingin membuat penjelasan kehadiran UMNO Sabah pada Persidangan Agung Tahunan (AGM) Parti Warisan (WARISAN) lalu hanya sekadar memenuhi jemputan berikutan mereka (WARISAN) juga menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.

“Patut Jannie (ADUN) Kepayan berlapang dada dengan perlu melihat perkara ini dalam skop yang lebih besar bukan berfikiran sempit.

“Jika UMNO Sabah tidak memberi rasa hormat sudah tentu akan wujud ketidakstabilan 2/3 yang mungkin dapat dirasai diperingkat Kerajaan Persekutuan.

“Mana perginya rasa hormatnya sokongan PH Sabah kepada UMNO – Barisan Nasional (BN) Sabah semasa menghadiri persidangan agung tahunan sebuah parti baru-baru ini dengan hanya dua gabungan sahaja bolehkah mengugat kestabilan Kerajaan Perpaduan di persekutuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jeffrey Nor merupakan Ketua Bahagian UMNO Putatan berkata, beliau masih tidak faham mengapa Jannie mengeluarkan kenyataan ini seolah-olah tidak merujuk kepada rasa hormat kepada gabungan yang dilaksanakan di persekutuan.

“Apa-apa pun kenyataannya (Jannie) saya cadang adalah baik kita urus sahaja parti masing-masing dengan sebaik mungkin sambil memberikan buah fikiran bagi memastikan masalah infrastruktur di Sabah dapat diselesaikan segera.

“Jangan hanya asyik menunding serta mencari kesalahan orang lain sehingga masalah utama di Sabah membabitkan bekalan air bersih, elektrik dan jalanraya dapat ditangani segera dalam tempoh terdekat.

“Perlu diingat, rakyat sentiasa melihat gerak-geri PH bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adakah mereka dapat menyelesaikan masalah kemudian infrastruktur ini sebelum menjelang PRN Sabah nanti,” jelas Jeffrey Nor.