TONGOD: Tongod mencatatkan lebih 9,000 pengeluaran geran tanah sekali gus merupakan jumlah tertinggi direkodkan sejak 2008 sehingga Disember 2021.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) daerah Tongod merekodkan lebih 90 ribu ekar tanah diluluskan kepada penduduk tempatan sejak tahun 2018.
“Sebahagian besar jumlah pemilikan geran itu adalah permohonan tanah adat. Selebihnya, melibatkan hutan simpan yang telah diwartakan sebagai tapak perkampungan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengerusan Tanah (LUC) di pejabat daerah Tongod, di sini semalam.
Masiung berkata, setiap permohonan memperolehi geran tanah akan mendapat tidak kurang dari 10 ekar serta diberikan tempoh sehingga lima tahun bagi mengusahakan tanah tersebut.
“Sekiranya tanah tersebut terbiar tanpa diusahakan melebihi lima tahun, pihak kerajaan berhak membatalkan semula geran pemilikan kemudian diberikan kepada pemohon lain yang belum memiliki tanah,” katanya.
Mengenai isu pertindihan permohonan tanah Masiung berkata, masalah itu sudah tertangguh selama lebih 30 tahun berjaya diselesaikan menerusi Program Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang dilaksanakan oleh JTU.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Pengerusi Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mengulangi pendirian untuk membantu mempercepatkan masalah permohonan tanah penduduk yang sekian lama tertangguh.
“Setakat ini terdapat lebih 600 permohonan sedang diproses oleh JTU daerah Tongod untuk dianalisa sebelum program penyukatan dilakukan.
“Kita akan meneliti setiap permohonan yang dikemukakan dan tidak akan mengambil langkah tergesa-gesa melainkan setelah membuat perincian yang matang terlebih dahulu,” katanya.
Keutamaan akan diberikan kepada warga tempatan berbanding syarikat swasta yang ingalin membangunkan ladang pertanian secara besar-besaran.
Masiung turut mengingatkan pemilik tanah yang telah memperolehi geran agar tidak mengambil kesempatan untuk menjual kepada syarikat atau individu dari luar daerah itu.
“Kita memberi amaran kepada pemilik tanah yang didapati menjual tanah adat kepada orang luar…maka mereka akan disenarai hitam sekali gus tidak akan berpeluang memilik tanah kali kedua,” katanya.