Jadikan tanah air sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan makmur

SANDAKAN : Masyarakat perlu menjadikan tanah air sebagai sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan makmur dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata masyarakat perlu bersyukur dan berbangga menjadi sebahagian daripada rakyat negara berdaulat yang mana hasil kemerdekaan ini membolehkan kita mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmoni, aman damai dan sejahtera.

Katanya, dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi, rakyat dapat hidup dengan lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam kehidupan seharian.

“Hidup dalam perpaduan antara kaum dan etnik merupakan nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya. Ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam setiap insan agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila.

“Masyarakat perlu sama-sama melakar usaha berterusan bagi memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat untuk melestarikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Semarak Gemilang dan Pertandingan Pondok Berhias Kampung Sim-Sim Sandakan di sini hari ini.

Program Semarak Gemilang dan Pertandingan Pondok Berhias 2023 merupakan acara tahunan di Kampung Sim-Sim sejak tahun 2019.

Ia merupakan anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P186 Sandakan, Pusat Khidmat ADUN Tanjung Papat dan Jabatan Penerangan.

Pertandingan tahun ini dimenangi oleh Jambatan 11 dan Lorong C yang masing-masing membawa pulang hadiah bernilai RM1,000.

Ends.