Jadikan perjuangan tuntut kemerdekaan inspirasi lawan Covid-19 – Bung

KINABATANGAN: Semua anggota masyarakat khususnya di kawasan Kinabatangan disaran menghidupkan suasana sambutan Hari Kemerdekaan dengan penuh semangat patriotik walaupun negara masih berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, penularan COVID-19 sejak lebih setahun lalu sehingga menjejaskan kehidupan normal masyarakat tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk melupakan detik bersejarah negara mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata, semangat pemimpin terdahulu yang berjuang menuntut kemerdekaan perlu dicontohi dan dijadikan inspirasi untuk melawan Covid-19 musuh yang tidak dapat dilihat dan amat berbahaya ketika ini.

“ Pelbagai cara untuk kita menzahirkan semangat patriotik kepada negara antaranya mengibarkan jalur gemilang di kediaman masing-masing dan yang paling penting ketika negara berhadapan pandemik Covid-19 ialah mendisplinkan diri dan bersoladiriti menanganinya dengan cara mematuhi Prosiduer Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau di wakili oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Abu Bakar Gapar. Turut hadir Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Manap And Rahim bersama kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lamag.

Bung yang juga Wakil Rakyat Lamag berkata, walau apa pun keadaan sekarang yang masih berdepan dengan pandemik Covid-19 ini, tetapi semangat menyambut Hari Kemerdekaan itu wajar diteruskan kerana ia boleh menyatukan hati seluruh anggota masyarakat.