LANGKAWI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perhutanan Sabah bagi memperkasa kerjasama penggunaan teknologi angkasa serta penderiaan jauh dalam pengurusan sumber hutan secara
lestari khususnya di Hutan Simpan Negeri Sabah.
MOSTI dalam kenyataan memaklumkan skop kerjasama itu membabitkan pemantauan dan pemetaan kawasan berhutan di seluruh Sabah berteraskan teknologi angkasa yang merupakan pendekatan baharu dalam pengurusan sumber hutan serta pendigitalan maklumat perhutanan.
Melalui kerjasama itu, beberapa pakej sistem aplikasi juga telah dibangunkan khusus untuk membantu pihak Jabatan Perhutanan Sabah dalam pengurusan sumber hutan iaitu iForSABAH bagi pengurusan dan pemantauan litupan hutan serta e-PESISIR yang memfokus kepada pemantauan pesisir pantai negara.
“Penggunaan teknologi angkasa memberikan impak yang sangat signifikan dalam pengurusan sumber hutan khususnya bagi membantu pihak Jabatan Perhutanan Sabah dalam membuat pemetaan dan pengemaskinian litupan hutan secara tepat serta berkala setiap dua tahun sejak 2010.
“Pengoperasian sepenuhnya sistem aplikasi yang telah dibangunkan juga telah mengurangkan kos operasi di lapangan sehingga 40 peratus dan menjimatkan masa pelaksanaan kerja,” menurut kenyataan itu.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah MYSA Azlikamil Napiah dan Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Frederick Kugan.
MOSTI turut memaklumkan MoU itu merupakan yang ketiga antara kedua-dua pihak dengan kerjasama terdahulu dimeterai pada 2013 dan 2017.
“Kerjasama strategik ini juga selari dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti yang direncanakan di bawah Program Eksplorasi Angkasa Malaysia 2030 (MSE2030) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Mei 2023 di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023,” katanya.