Isu ketiadaan beras tempatan di Labuan membimbangkan rakyat

LABUAN: Isu ketiadaan beras tempatan di Labuan sejak beberapa minggu lalu menimbulkan kebimbangan kepada penduduk khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

Mereka mendakwa ketika ini berdepan ketiadaan beras tempatan yang dijual di pasaraya dan ini menyebabkan mereka terpaksa membeli beras import yang harganya lebih tinggi sehingga ada yang mencecah RM56 untuk satu kampit 10 kilogram (kg) berbanding harga beras tempatan sekitar RM30 untuk 10 kg.

Justeru itu, beberapa pemimpin masyarakat termasuk penduduk kampung menyuarakan kebimbangan ini kepada Ketua Bahagian UMNO Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan untuk mengangkat perkara ini ke pihak atasan termasuk ke kementerian yang berkaitan bukan sahaja berkaitan dengan ketiadaan beras tempatan tetapi juga harga beras import yang melambung tinggi.

Mohd Rafi yang ditemui media terkejut apabila dimaklumkan ketiadaan beras tempatan yang dijual di mana-mana pasaraya di pulau ini.

“Sudahlah beras tempatan tidak ada di Labuan, beras import pula dijual dengan harga yang lebih tinggi ada yang mencecah sehingga RM56 dan ini sudah pasti tidak mampu dibeli oleh rakyat yang berpendapatan rendah, ” katanya.

Tedahulu, Mohd Rafi hadir di program penyerahan bantuan beras kepada empat keluarga yang akan melaksanakan majlis perkahwinan anak mereka menerusi Program Peduli Rakyat anjuran UMNO Bahagian Labuan pada Ahad, lepas.

Mohd Rafi berkata, beliau juga telah menghubungi beberapa pemborong beras untuk mendapatkan penjelasan mengenai ketiadaan beras tempatan di Labuan.

“Saya telah dimaklumkan oleh pemborong beras, mereka hanya menerima bekalan beras tempatan sebanyak 20 tan metrik sebulan dan ini sudah pasti tidak mencukupi dengan jumlah penduduk Labuan yang dianggarkan 100,000 orang,” katanya.

Justeru itu, beliau menggesa kepada agensi dan kementerian yang berkaitan untuk melihat keperluan rakyat Labuan supaya bekalan beras tempatan sentiasa mencukupi demi kesejahteraan rakyat di Labuan.