KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan sindiket penipuan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) dalam serbuan ke atas sebuah premis di ibu negara pada 15 April lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, tiga warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan dalam operasi itu yang dipercayai sudah mengaut keuntungan mencecah RM2 juta.
Katanya, mereka yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 47 tahun.
“Antara dijumpai di premis diserbu ialah sejumlah 264 keping pasport pelbagai negara seperti Bangladesh, Indonesia dan India dipercayai cuba didaftarkan dalam Program RTK.
“Turut dirampas, wang tunai berjumlah RM7,270 dipercayai sebahagian hasil kutipan transaksi harian dari aktiviti berkenaan.
“Modus operandi sindiket adalah menjadikan premis syarikat pelancongan sebagai lokasi pendaftaran, pengumpulan pasport dan penerimaan bayaran dari warga asing untuk menyertai Program RTK,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sindiket didapati menjalankan aktiviti menyamai syarikat penyumberan luar yang sudah pun dimansuhkan dengan menggunakan beberapa syarikat tidak aktif (dormant) untuk mendapatkan kuota pekerja asing di bawah Program RTK.
Menurutnya, khidmat pekerja-pekerja asing yang berjaya didaftarkan akan ditawarkan kepada mana-mana individu atau syarikat yang memerlukan pekerja asing dengan bayaran tertentu.
“Pihak sindiket dipercayai mengenakan bayaran di antara RM6,500 hingga RM8,000 seorang bagi mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pelbagai sektor melalui program berkenaan.
“Berdasarkan jumlah pasport dan tempoh beroperasi, sindiket ini dipercayai sudah mengaut keuntungan mencecah RM2 juta melalui caj yang dikenakan ke atas pekerja asing, syarikat atau individu yang menjadi pelanggan mereka,” katanya.
Khairul Dzaimee berkata, kesemua tahanan dibawa ke Jabatan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 danPeraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Orang ramai terutamanya warga asing dan majikan dinasihatkan supaya berurusan terus dengan JIM dan tidak menggunakan orang tengah atau ejen dalam urusan mendapatkan PLKS yang sah di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja,” katanya.
- BERNAMA