LABUAN: Ibadah Korban mampu merapatkan ukhuwah tanpa mengira fahaman politik malah menyuburkan semangat kerja berpasukan dan gotong-royong dalam kalangan umat Islam.
Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Mohd Rafi Mohd Alli Hassan berkata, ibadat korban diadakan bersempena peristiwa Nabi Ibrahim dan anak baginda Nabi Ismail yang begitu banyak menyumbang pengajaran sekiranya ia dihayati.
“Ia tidak hanya memupuk semangat pengorbanan dalam diri, bahkan juga hubungan sesama insan dalam masyarakat. Ibadat korban ini juga peluang baik untuk kita berkongsi nikmat dengan orang lain.
“Pada hari ini, sempena majlis korban yang dilaksanakan, kita dapat merapatkan hubungan ukhuwah tanpa mengira fahaman politik kerana kita jemput semua untuk bertugas tanpa mengira latar belakang mereka.
“Kerjasama sebegini sangat penting supaya dapat mewujudkan satu jaringan kerjasama dalam kalangan masyarakat walaupun dari latar belakang politik yang berbeza,” katanya di sini semalam.
Antara pemimpin yang turut hadir di majlis itu termasuk Ketua Cabang PKR Labuan Simsudin Sidek, Pengerusi parti Amanah Labuan Datuk Dr.Ramli ,dan Wakli Ketua Warisan Labuan Halim
Tambah Mohd Rafi , penglibatan masyarakat dimana lebih 300 orang yang datang membantu menjayakan program tersebut amat menggalakkan bagi membantu kelancaran program yang dianjurkan pada kali ini.
“Insha Allah pada tahun hadapan, kita akan buat dengan lebih baik, mungkin ada penambahan jumlah sumbangan lembu , supaya daging dapat diagihkan dengan lebih meluas dan lebih ramai penduduk dapat merasainya,” katanya.