Lelaki Warga Asing Maut Kenderaan Bertembung Lori Tangki

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaanya bertembung dengan lori tangki di Kilometer 10 Jalan Lahad Datu – Sandakan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu dipercayai berpunca apabila pemandu pacuan empat roda dipercayai cuba memotong kereta di hadapan tetapi gagal masuk semula ke laluannya.

Katanya, mangsa lelaki warga asing berumur 36 tahun yang memandu pacuan empat roda disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kedua-dua pemandu lori terbabit hanya mengalami cedera ringan.

“Siasatan awal mendapati pacuan empat roda dan sebuah lori datang dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan manakala lori tangki pula dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu pacuan empat roda meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala kedua-dua pemandu lori terbabit hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Lahad Datu,” katanya di sini hari ini.

Rohan Shah berkata,, hasil siasatan mendapati punca kemalangan dipercayai daripada kecuaian pemandu pacuan empat roda yang cuba memotong kenderaan di hadapan dan bertembung dengan lori tangki.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Dr Rohan Shah meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian itu, boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Inspektor Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan.

Katanya, pengguna jalan raya khususnya di daerah ini diminta sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya sedia ada serta sentiasa mengamalkan sikap sabar serta berhati-hati ketika memandu.

“Hal ini kerana ‘malang tidak berbau’ dan tidak membahayakan nyawa pengguna-pengguna jalan raya yang lain,” katanya.