Hantar segera bekalan vaksin ke Sabah untuk capai sasaran 80 peratus – Christina

KUALA LUMPUR: Kerajaan mesti serius untuk mencapai sasaran 80 peratus vaksinasi dalam kalangan orang dewasa menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew berkata, sehingga kini masih ramai rakyat Malaysia belum menerima temu janji vaksinasi meskipun telah mendaftarkan diri sejak Februari lalu.

Katanya, mesyuarat khas penggal ketiga persidangan Parlimen ke-14, sepatutnya dijadualkan membahas di Dewan Rakyat pada 29 Julai 2021 tetapi tidak kesampaian.

“Menjelang pada hari tersebut, perbahasan telah ditangguh sebanyak tiga kali sebelum diputuskan untuk diteruskan pada 2 Ogos 2021.

“Namun kini persidangan ini sudah ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Christina  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api berkata, kerap kali kedengaran kerajaan pusat membeli serta membayar sejumlah besar untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

“Namun bekalan itu masih tidak mencukupi apabila di hantar ke Sabah khususnya daerah Tawau, di mana silapnya. Sila kota kan janji untuk mengukuhkan sistem kesihatan awam dan PICK,” katanya.

Menteri Kewangan Malaysia menegaskan dalam Parlimen menjelaskan usaha sedang dilakukan untuk mencapai 80 peratus vaksinasi terhadap golongan dewasa di negara ini.

“Jangkitan COVID-19 kini lebih 16,000 kes baharu setiap hari dengan kematian sejumlah 9,000 kes sejak pandemik itu melanda Malaysia tahun lalu,” katanya.

Menurut covidvax.live Malaysia, hanya 22 peratus sahaja populasi negara ini berjaya mendapatkan dos kedua vaksinasi.

“Kerajaan Pusat perlu memberikan perhatian terhadap kadar vaksinasi rendah seperti di Tawau disebabkan kekurangan bekalan vaksin.

“Saya cadangkan agar kerajaan segera menghantar bekalan tambahan vaksin ke Tawau untuk meningkatkan kadar vaksinasi,” katanya.