Hajiji mahu MPPS jadikan acara tahun bagi mendengar suara anak muda

KOTA KINABALU: Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) akan diinstitusikan sebagai acara tahunan bagi mendengar suara golongan muda dan mereka yang masih belajar.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata semua usul dibentangkan dalam MPPS perlu didokumentasikan secara rasmi berbentuk Nota Kabinet akan dibentangkan untuk makluman jemaah menteri sekali gus diteliti setiap kementerian dan agensi berkaitan.

Hajiji bersama sebahagian peserta selepas merasmikan MPPS malam tadi. Gambar JKM.

“Selepas mendengar segala usul menerusi majlis yang pertama kali diadakan ini, kita mahu MPPS dijadikan sebagai acara tahunan.

“Kita mahu mendengar cadangan dan pandangan daripada anak-anak muda terutama mereka yang masih belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

“Saya juga mengambil perhatian serius setiap usul atau cadangan dibentangkan anak-anak muda kemudian akan teliti secara terperinci untuk dimasukkan dalam perancangan kerajaan. Mana yang perlu dilaksanakan, akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Banyak cadangan atau usul daripada tujuh kluster yang dibentangkan dalam MPPS amat releven dengan pembangunan negeri dan belia di Sabah. Terima kasih kepada semua pelajar yang memberi pandangan yang bernas demi pembangunan rakyat dan negeri ini,” katanya ketika merasmikan MPPS di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini,malam tadi.

MPPS adalah inisiatif bersama Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan Majlis Belia Sabah (MBS). Lebih 80 pemimpin pelajar daripada 60 institusi pendidikan di seluruh negara menghadiri MPPS, termasuk pemimpin pelajar sekolah menengah di negeri ini.

Lebih 10 usul atau cadangan yang dibentangkan daripada tujuh kluster dalam MPPS iaitu Kluster Belia dan Sukan; Sains, Teknologi dan Inovasi; Kepimpinan dan Modal.

Hajiji berkata, penganjuran MPPS adalah bertepatan dengan salah satu teras dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu agenda pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Kerajaan negeri amat komited untuk memperkasa modal insan di negeri ini melalui pelaksanaan dan perancangan pelbagai program dan inisiatif bagi mengangkat aspirasi anak muda Sabah.

“Selain MPPS, pelbagai inisiatif lain telah dan sedang digerakkan. Antara inisiatif baharu yang dilaksanakan bermula tahun ini ialah Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk membantu lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian ke IPT.

“Kerajaan negeri turut menubuhkan Sekretariat Khas Pelajar Sabah, bertujuan memayungi semua persatuan pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan,” katanya.