KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akan dilancarkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada 13 Mac ini oleh Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Timbalan Presiden KDM, Datuk Juil Nuatim yang juga Pengerusi Pelaksana Majlis Pelancaran KDM selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut di SICC hari ini.
Beliau berkata, Ketua Menteri dijangka tiba pada jam 12 tengahari di majlis tersebut yang akan turut dihadiri oleh 1,200 orang pemimpin dan ahli parti serta jemputan.
“Kita juga telah menjemput semua presiden parti yang ada di Sabah ini untuk menghadiri majlis tersebut, terutama sekali parti-parti dalam GRS,” katanya.
Menurutnya, majlis tersebut akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Bagi pihak jawatankuasa pelaksana beliau juga memohon maaf kepada mereka yang lain yang ingin tetapi tidak dapat untuk menyertai dalam majlis tersebut kerana ia terpaksa diadakan dengan mematuhi SOP.