GRS disaran tubuh stesen TV sendiri di Sabah – PEKADIN

KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (PEKADIN) mencadangkan agar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengikut jejak langkah Sarawak menubuhkan stesen televisyen (TV) sendiri.

Naib Presidennya, Simon Malubii berkata, sudah tiba masanya pemimpin GRS melakukan anjakan paradigma dalam dunia penyiaran dengan merealisasikan pewujudan TV Sabah itu.

Katanya, langkah itu penting bagi menonjol serta menyiarkan keunikan kebudayaan dan kesenian masyarakat mempunyai lebi 35 pelbagai kaum sekali gus hidup aman, damai dan harmoni.

“TV Sabah juga boleh menjadi wadah untuk mengetengahkan bakat anak Sabah yang mencipta nama sama ada dalam mahupun di luar negara.

“Pada masa yang sama ia juga membuka peluang kepada pembekal drama dan kandungan visual dari Sabah, terutama dalam mempromosi keunikan budaya masyarakat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Simon berkata, kejayaan Sarawak menubuhkan setesen TV sendiri, yang kini dikenali TVS, seharusnya menjadi inspirasi bagi kerajaan GRS menjayakan impian itu yang bakal menjadi kebanggaan lebih tiga juta penduduk Sabah.

Rakyat Sabah pasti menyambut langkah ini seiring dengan perkembangan serta kepentingan pembangunan teknologi maklumat  berperanan menyebarluas maklumat sahih dan cepat.

“PEKADIN yakin kerajaan GRS dibawah pimipinan Datuk Seri Hajiji Noor mampu menjayakan misi murni ini, sekali gus memartabatkan semangat Perjanjian Malaysia (MA63),” katanya.