GRS adalah baik bergerak secara solo pada PRN Sabah

KOTA KINABALU : Rundingan pakatan pilihan raya antara tiga gabungan utama dilihat hanya mengelirukan rakyat, dan adalah lebih baik bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bergerak secara solo.

Timbalan Presiden STAR Sabah, Datuk Kenny Chua berkata, GRS seharusnya bertanding secara bersendirian dalam pilihan raya negeri akan datang, dan menolak sebarang pakatan pilihan raya dengan gabungan parti nasional seperti Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan bahawa perbincangan mengenai potensi kerjasama antara GRS, PH, dan BN telah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengundi dan tidak mencerminkan sentimen akar umbi.

“Rakyat Sabah lebih cenderung untuk diperintah oleh parti-parti tempatan yang memahami keperluan dan keutamaan unik negeri itu.

“Ia adalah hasrat Sabah agar parti-parti tempatan memerintah negeri ini. Semua perbincangan mengenai GRS, Pakatan (PH), dan Barisan (BN) telah mewujudkan kekeliruan. Ia tidak sepatutnya berlaku. Bagi saya, adalah adil bagi Sabah jika GRS bergerak secara solo,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kenny berkata, beliau turut memberi amaran bahawa sebarang percubaan untuk memaksa kerjasama antara parti-parti akan dilihat sebagai “perkahwinan paksa” dan tidak akan diterima baik oleh pengundi.

“STAR, rakan ketiga terbesar dalam GRS yang terdiri dari lapan parti, telah menyokong pendekatan solo, sementara itu presidennya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan masih belum mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 27 Julai bahawa GRS telah bersetuju untuk membentuk pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH).

“PH juga telah menentukan susunan kerusi pilihan raya dengan BN, dan langkahnya untuk bekerjasama dengan GRS secara berasingan turut menimbulkan tanda tanya politik,” jelas Kenny.

Menurutnya, BN Sabah, yang diketuai oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin, telah menolak sebarang bentuk perikatan dengan, GRS di bawah Hajiji, berikutan perselisihan mereka pada Januari 2023.

Bagaimanapun, Chua percaya bahawa Sabah telah menikmati kestabilan politik sejak GRS membentuk kerajaan negeri, dan kestabilan ini akan diperkukuhkan lagi jika mandat diberikan secara jelas kepada parti-parti tempatan.

“Kestabilan politik telah diwujudkan sejak GRS memegang tampuk pemerintahan, dan akan diperkukuhkan lagi apabila pengundi memilih autonomi di mana parti-parti tempatan Sabah memerintah negeri ini, sama seperti di Sarawak,” tambahnya.

Beliau berkata, walaupun kerjasama dengan parti-parti nasional mungkin memainkan peranan pada masa lalu, Sabah kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk menentukan masa depannya melalui kepimpinan tempatannya sendiri.

Rundingan kerjasama politik semasa akan menyaksikan GRS dan BN bertanding antara satu sama lain, manakala kedua-dua parti tidak akan meletakkan calon menentang calon PH di bawah formula perkongsian kerusi yang sedang diusahakan.