SEREMBAN: Usaha membantu meringankan beban rakyat sepatutnya menjadi tanggungjawab semua pihak sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang ketika ini, berbanding isu pilihan raya negeri (PRN).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian PH jelas bahawa adalah tidak sesuai isu Pilihan Raya Negeri (PRN) ditimbulkan ketika ini terutama selepas rakyat berdepan dengan bencana banjir dan wabak pandemik COVID-19 yang belum selesai.
“Menjadi tanggungjawab bersama, kerajaan dan pembangkang dan setiap orang untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat.
“Tidak timbul soal menang atau kalah (dalam pilihan raya) kerana ia adalah terserah kepada keputusan rakyat, namun semua pihak perlu bersama ketika ini untuk membela nasib rakyat,” katanya laporan Berita Harian harian ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa banjir di Kampung Ismail Ampangan di sini, petang tadi, bagi mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Shamsul Anuar dilaporkan berkata, pendirian PH tidak bersetuju untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan adalah kerana bimbang sekali lagi kalah selepas dua kekalahan dalam PRN sebelum ini.
Anwar yang juga Presiden berkata, keputusan diambil PH adalah mengambil kira kepentingan rakyat yang baharu ditimpa bencana banjir dan isu COVID-19 yang belum selesai.
“Kita hadapi banjir, COVID-19 yang belum selesai, hendak beri malapetaka kepada rakyat sebab apa?.
“(Jadi) minta dipertimbangkan oleh Tuanku Sultan (Johor), kerajaan negeri untuk memikirkan maslahat, kepentingan, kehidupan, kesihatan dan keselamatan rakyat. Sepatutnya guna kekuatan yang ada sekarang untuk bela nasib rakyat, ” katanya.
Terdahulu, PH Johor mengeluarkan kenyataan menolak pelaksanaan PRN pada waktu ini kerana ia dilihat tidak sensitif memandangkan rakyat sedang mengalami krisis kesihatan COVID-19 dan ekonomi domestik.
Pengerusi Parti Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama berkata, PH Johor sebulat suara memberi komitmen sepenuhnya dalam membela nasib rakyat,
berbanding hal politik dan soal perebutan kuasa.
Mereka menegaskan bahawa segala usaha, tenaga, komitmen dan dana harus disalur untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan, walaupun kedudukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini berada pada angka 28-27 selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.