FKAL UMS Anjur Persidangan Antarabangsa Persatuan Kewangan Malaysia

LABUAN: Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dengan kerjasama Persatuan Kewangan Malaysia (MFA) telah menganjurkan persidangan secara hibrid bertajuk Persidangan Antarabangsa Persatuan Kewangan Malaysia ke-24, 2022 (MFAIC 2022) bertemakan Kewangan Global: Berkembang dan Mempengaruhi Dunia Pasca Pandemik yang berlangsung selama tiga hari, bermula kelmarin.

Pada persidangan itu, lebih daripada 90 ahli akademik, penyelidik dan pengamal kewangan berkongsi penemuan mereka mengenai topik berkaitan dengan kewangan global seperti Kewangan Islam, Fintech, Pelaburan dan Kewangan Harta Tanah.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin, persidangan MFAIC 2022 membincangkan topik kontemporari yang meneroka krisis kewangan antarabangsa melalui lensa kewangan global dan ekonomi berpotensi yang dihadapi oleh syarikat serta individu hari ini.

“Dua tahun berlalu sejak COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik global, wabak ini telah memberikan kejutan serentak di seluruh dunia yang telah mengakibatkan kerugian besar kepada manusia dan ekonomi.

“Saya percaya, apabila persidangan ini selesai, kita akan dapat mengumpul maklumat penting yang boleh membawa kepada tema yang berkaitan dengan pengimbangan pertumbuhan kewangan dan ekonomi serta topik yang berkaitan dengan kebajikan umum penduduk,” katanya.

Raman yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UMS berkata, ahli akademik dan pakar industri dari pelbagai latar belakang seharusnya terus terlibat dalam dialog berterusan di persidangan seperti ini.

“Penglibatan berterusan dalam persidangan seumpama ini dapat menjana dan menghasilkan jawapan kepada cabaran yang dihadapi oleh sektor perniagaan dan masyarakat secara keseluruhan.

“Hal ini penting memandangkan persekitaran yang sentiasa berubah yang mempengaruhi semua aspek kehidupan,” katanya.

Raman berharap persidangan ini akan memberi inspirasi kepada perkongsian lanjut antara institusi akademik, perniagaan dan organisasi lain serta memberi banyak peluang untuk membina persahabatan dalam kalangan peserta.

Persidangan selama tiga hari ini akan diisi dengan sesi ucaptama oleh Profesor Dr. Iftekhar Hasan dari Fordham University, US; Profesor Dr. Wing-Keung Wong dari Asia University, Taiwan, sementara Profesor Dr. Lean Hooi Hooi dari Universiti Sains Malaysia menyampaikan sesi ceramah pleno.

Para peserta persidangan juga akan mendapat manfaat menerusi ceramah yang akan disampaikan wakil industri iaitu daripada Ketua Pengarah Perbadanan Labuan, Nik Mohamed Din Nik Musa, Helen Peng dari China Construction Bank Corporation (cawangan Labuan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Neeurogine Group, Owen Chen.

Persidangan ini juga turut disertai para peserta dari Indonesia dan Brunei Darussalam.