Fitnah terhadap Mohd Reza perbuatan jahat bagi jejas imej Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU: Fitnah yang dilemparkan ke atas Mohd Reza Hajiji yang dituduh terlibat dengan kartel dadah merupakan perbuatan yang berniat jahat dan sengaja dicetuskan untuk menarik perhatian sekaligus cubaan untuk menjejaskan imej Ketua Menteri Sabah.

Ketua Penerangan Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah, Anna Bell Perian berkata
ini menggambarkan bahawa individu atau pihak terbabit terdesak dengan menabur fitnah mengalihkan perhatian rakyat untuk menyokong Kerajaan Negeri yang tanpa henti membawa pembangunan untuk rakyat dan negeri Sabah.

Katanya pihak ini juga sengaja mengadu domba kerana tidak ada isu yang ingin mereka utarakan.

“Memasuki tahun baharu 2024, tahun yang masih menyaksikan peperangan dunia luar antara Israel–Palestin sedang berlaku sehingga mengundang ketidaktentuan politik peringkat antarabangsa dan juga kemelesetan ekonomi dunia,

“Seharusnya menjadi fokus utama semua pihak tidak kira pihak Kerajaan, pembangkang dan rakyat adalah berganding bahu untuk memulihkan dan membangunkan ekonomi negeri kerana kalau bukan kita semua siapa lagi.

“Cukup-cukuplah berpolitik kerana rakyat sedang memerhatikan kita semua, tentu juga diselitkan doa-doa untuk kemenangan saudara mara kita di Palestin dalam berjuang membela tanah air mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Anna Bell berkata Sabah dan rakyatnya menjadi contoh terbaik bukan hanya diperingkat negeri saja tetapi diperingkat nasional hidup aman harmoni tanpa peperangan meskipun berbeza budaya, kaum dan agama.

Namun sayangnya, katanya, ada pihak yang suka mencetuskan ‘peperangan’ yang dangkal, lagi busuk, dipenuhi hasad dengki untuk menjatuhkan orang lain.

“Mengapa tidak kita bersama-sama menjalankan tugas kita sebagai rakyat Sabah? Membina dan memakmurkan negeri tercinta, merentasi perbezaan ideologi,” katanya.

Beliau berkata rentetan daripada itu, Wanita Parti Gagasan Rakyat dari Bahagian Sg Sibuga, Gum-gum, Elopura, Tg Papat, Karamunting, Sekong dan beberapa kawasan lain telah membuat laporan Polis agar siasatan terperinci dilaksanakan dan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.