Ewon terima kunjungan hormat Wanita UPKO

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menerina kunjungan hormat daripada Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), di pejabatnya, di sini, hari ini.

Kunjungan itu diketuai oleh Ketua Wanita UPKO Pusat Datin Julianah Jani dan disertai oleh Setiausaha Exco Wanita Rowindy Lawrence dan ahli Exco Wanita Mohina Sidom.

Antara yang dibincangkan dalam kunjungan itu ialah Halatuju wanita Upko khususnya dalam bidang keusahawanan.

Julianah berkata, pada tahun ini Pergerakan Wanita UPKO merancang melaksanakan beberapa program keusahawanan bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan keupayaan golongan itu agar lebih berdaya saing.

“Kami juga berharap dapat bekerjasama dengan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi menjayakan program yang kami rancang sepanjang tahun ini,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu itu, rombongan Wanita UPKO menghadiri mesyuarat Wanita Pakatan Harapan (PH), di sini.

Sementara itu Ewon berkata, KUSKOP mempunyai 10 agensi yang masing-masing berperanan membantu usahawan, penjaja dan peniaga-peniaga kecil.

“Antaranya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang menyediakan pinjaman khusus untuk membantu golongan wanita terutamanya dalam kumpulan B40,” katanya.